Categories
Uncategorized

PENTING | Logo Adalah Imej Perniagaan

Pengguna lihat logo, ingat anda

 

Rekacipta logo memainkan peranan yang penting dalam perniagaan. Simbol yang kecil yang diberi nama ‘logo’ boleh memberi impak yang besar pada perniagaan. Lihat sahaja jenama-jenama terkenal di dunia, semuanya mempunyai logo. Tanpa logo, tiadalah jenama.

Sekiranya anda menjalankan perniagaan, kecil-kecilan dan tidak mempunyai logo, atau logo yang anda miliki tidak memberi gambaran dan tanggapan professional untuk perniagaan anda, anda sebenarnya kerugian. Perniagaan anda akan dianggap kurang professional dan kepercayaan serta kredibiliti akan terjejas.

Seperti pesan Jutawan Internet, Irfan Khairi, beliau mengatakan simbol yang kecil, tetapi memberi impak yang besar kepada apa sahaja perniagaan. “Pastikan anda mempunyai logo untuk perniagaan atau perkhidmatan anda, tidak kira walaupun anda one-man-show.” Demikian katanya lagi.

Lihat sahaja syarikat gergasi HP yang mempunyai logo yang mudah, hanya bermula sebagai perniagaan kecil. Tetapi dengan logo mudah diingati itu membantu mempromosikan produk mereka di mana sahaja selain mudah diingati sesiapa sahaja.

Logo adalah imej pembayang atau simbolik suatu tanda yang mewakili asal usul, pengenalan sesuatu organisasi syarikat atau barangan. Logo diset dalam bentuk warna, dan tulisan tertentu yang memaparkan identiti sesuatu syarikat. Bentuk, warna dan tulisan ini berfungsi sebagai pencetus satu ingatan orangramai terhadap sesuatu syarikat atau barangan.

Logo juga merupakan elemen penting dalam penjenamaan. Logo dan identiti yang kuat berupaya dalam menarik keyakinan pelanggan dan seterusnya menonjolkan kekuatan sesebuah perniagaan atau barangan. Logo yang didaftarkan dengan pihak yang berwajib juga menyebabkan pihak ketiga yang tidak sah tidak boleh menggunakannya atau menggangu pemilih sah untuk menggunakannya. Logo yang sudah lama digunakan dan dipertahankan dengan betul, ia mampu menjadi harta hakmilik intelektual yang berharga.

Ramai orang menganggap sesuatu logo hanyalah satu simbol grafik atau tanda. Walau bagaimanapun, ini bukan definisi yang tepat bagi pereka grafik dan ahli professional pengiklanan. Sesuatu logo terdiri daripada samada nama dan lambing. Syarikat besar membelanjakan beratus ribu dollar untuk mengemaskini dan mendirikan logo mereka, sementara perniagaan-perniagaan kecil menggunakan khidmat pereka grafik tempatan untuk membina logo mereka.

Slogan Jenama

Kadangkala sesuatu slogan disertakan dalam logo. Jika slogan sentiasa ada dalam logo dan dalam bentuk grafik yang sama, ia boleh dianggap sebagai sebahagian daripada logo. Ia dianggap slogan jenama yang juga dipanggil claim, tagline atau endline dalam industri pengiklanan. Tujuan utamanya ialah menyokong identity jenama bersama-sama logonya. Perbezaan antara slogan dengan slogan jenama ialah slogan jenama kekal untuk masa yang lama untuk membina imej jenama manakala slogan yang berbeza dikaitkan dengan sesuatu produk atau kempen pengiklanan.

Logo dengan slogan jenama yang membantu menaikkan imej jenama. Nama syarikat tidak perlu disertakan kerana lambang ini sangat dikenali ramai. Langkah pertama anda adalah untuk mula membina jenama perniagaan anda, dan ianya boleh dilakukan dengan mempunyai logo perniagaan yang professional.

 

Jenis-jenis logo

Logo huruf (logo type);

• Terdiri daripada satu atau lebih huruf/abjad atau satu perkataan. Huruf yang dipilih biasanya singkatan (initial).

• Contohnya, ACER, SONY, CANON, HONDA, OLYMPUS, TV3, ASTRO dan sebagainya.

Logo representasi (pictogram);

• Dicipta berdasarkan rupa bentuk objek-objek di alam sekelilin.

• Bentuk asal dan gambar objek dipermudahkan untuk menghasilkan imej visual yang ringkas tetapi masih mengekalkan sifat-sifat asal objek itu

• Gubahan logo yang mudah, ringkas dan berkesan dapat menyampaikan mesej dengan jelas tanpa sebarang penerangan.

Logo simbol;

• Merupakan tanda yang dikenali antarabangsa kerana dapat menyampaikan mesej yang jelas tanpa mengira bahasa dan bangsa.

• Biasanya menggunakan rupa mudah sesuatu objek untuk mewakili perkara-perkara yang ada perkaitan dengannya.

 

Kepentingan logo

Kebanyakkan usahawan yang berjaya di seluruh dunia kebiasaannya mencipta logo untuk sesuatu produk. Kepentingan logo ialah untuk melambangkan kerja yang professional dan logo juga merupakan cara usahawan untuk berkomunikasi dengan pelanggan.

Tahukah anda? Logo juga merupakan bentuk komunikasi di dalam bentuk visual dan secara tidak langsung ini akan memberi kepastian dan keyakinan kepada pelanggan. Tidak hairanlah jika kebanyakkan usahawan di dunia ini mencipta logo untuk sesuatu produk dan mencecah jualan produk berjuta-juta unit. Satu lagi kelebihan logo ialah pelanggan akan mudah mengingati produk kita.

 

Jadi jika anda ingin berjaya di dalam perniagaan dan seterusnya menjadi usahawan berjaya, ciptalah logo untuk produk anda.

Berikut adalah 3 tip rekacipta logo untuk perniagaan anda;

1. Pastikan rekacipta logo anda adalah professional. Logo yang tidak professional akan memberi tanggapan tidak professional kepada perniagaan anda. Logo merupakan hubungan pertama antara pelanggan dan jenama anda.

2. Rekacipta logo perlu mudah dan tidak terlalu kompleks. Sekali lagi, fikirkan logo-logo yang terkenal, kesemuanya mempunyai ciri rekacipta dan bentuk yang mudah (simple).

3. Hadkan warna untuk logo ciptaan anda. Logo-logo popular kebanyakkannya hanya menggunakan 2 hingga 3 warna sahaja. Ini memudahkan orang mengingati logo tersebut.

 

Disediakan oleh

Kamri Kamaruddin

Perunding Perniagaan

SC Creative Sdn Bhd